Thursday, June 28, 2007

Tok Guru Nik Aziz Nik Mat

BELUM ADA lagi pemimpin Melayu/Islam yang mampu menandingi kezuhudan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, lihat saja rumahnya, inilah rumah untuk seorang menteri besar selama 17 tahun memerintah Kelantan, tidak berpagar, jauh lagi berpengawal। Cakapnya perlahan, tapi isinya dalam, beliau dihormati kawan dan lawan, baik Dr Mahathir, Ku Li, bahkan Lim Kit Siang sendiri. Mahu tahu mengenai peribadinya? Mengenalinya lebih dekat?

Ulama Islam dan tokoh politik Melayu TENANG, warak, penyabar dan pemurah adalah merupakan ciri-ciri utama yang terkandung di dalam peribadi Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat, Menteri Besar Kelantan yang ke-5.Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz adalah seorang ulama dan tokoh politik tanahair yang tidak asing lagi sejak lebih tiga dekad yang lalu. Tidak syak lagi, beliau adalah satu-satunya tokoh politik yang paling komited dan paling gigih memperjuangkan Islam sebagai ad-Deen yang perlu ditegakkan di negara ini.
Alhamdulillah, berkat kesabaran, kegigihan dan komitmennya yang total di dalam perjuangannya itu, akhirnya fajar kejayaannya sudah mula menyinsing di u***** kenyataan hidup। Kelantan sudahpun dapat ditawannya. Berikutnya beliau telah dipilih untuk mengetuai kabinet Kerajaan Islam di negeri ini.

"Semacam ada persafahaman antara para malaikat di langit dan para pengundi di bumi," kata Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz ketika mengulas kemenangan PAS dan Angkatan di dalam pilihanraya umum yang baru lalu। Selaku Menteri Besar, Tuan Guru Haji Nik Aziz telah membuktikan keupayaan dan kecekapan beliau memimpin kerajaan Islam di negeri Serambi Mekah yang baru sahaja jatuh ke tangannya itu। Pelbagai saranan dan pembaharuan yang membina telah diperkenalkannya.

Beliau memotong gajinya sebanyak 40 peratus untuk Tabung Kewangan PAS Negeri Kelantan। Beliau enggan menerima elaun tahunan untuk menyediakan pelbagai juadah kerana menyambut hari raya. Beliau memberi amaran supaya para Exco, ADUN dan kakitangan kerajaan tidak melibatkan diri di dalam apa jua bentuk rasuah dan penyelewangan. Dan beliau mengambil pelbagai langkah lain lagi bagi mewujudkan sebuah kerajaan yang bersih, adil dan Islamik.

Ketaralah, di sebalik tubuh yang kecil itu, terhimpun segala kekuatan dan keberanian yang boleh melemahkan pihak musuh, betapa pun kuat dan ramai bilangan mereka। Sebelum terpilih menjadi ADUN Semut Api dalam pilihanraya umum 1986 dan kemudiannya terpilih menjadi Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri Kelantan, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz telah terpilih menjadi Ahli Parlimen PAS bagi kawasan Pengkalan Chepa selama tiga penggal berturut-turut।

Selama menjadi Ahli Parlimen, beliau telah menyumbangkan pelbagai idea, saranan dan kritikan melalui ucapan-ucapan yang disampaikannya di Dewan Rakyat। Malangnya ucapan-ucapannya yang bernas dan panjang lebar itu telah tidak di beri liputan yang sewajarnya di dalam media massa – baik di dalam akhbar-akhbar utama mahupun di dalam media letronik seperti TV dan radio। Hal ini dapat difahami kerana hampir kesemua alat media massa yang penting di negara ini berada di bawah kawalan kerajaan Barisan Nasional.

Kerjaya awal sebagai ahli politikOleh kerana agama dan politik itu saling kait mengait dan tidak boleh dipisahkan, maka Tuan Guru akhirnya telah menceburkan dirinya di dalam kegiatan politik tanahair. Beliau memilih PAS oleh kerana parti itu memperjuangkan Islam dan bercita-cita untuk menegakkan sebuah pemerintahan Islam di negara ini.Pembabitan beliau di dalam politik tanahair melalui PAS tidaklah pula sampai beliau mengabaikan penglibatannya di bidang dakwah dan pendidikan agama।

Mulai tahun 1967 Tuan Guru Haji Nik Abdul Azizl mula menyertai PAS। Dalam tahun yang sama beliau telah dipilih untuk bertanding dalam suatu pilihanraya kecil di Kelantan. Beliau menang di dalam pilihanraya kecil itu. Sejak itu hampir setiap kali pilihanraya, beliau sentiasa memenangi kerusi Parlimen yang ditandinginya iaitu Kerusi Parlimen Pengkalan Chepa। Malah Pengkalan Chepa telah muncul sebagai kubu PAS dan sejak dahulu hingga sekarang kerusi Parlimen Pengkalan Chepa tidak pernah dapat ditawan oleh UMNO atau BN.

Mengetuai Dewan Ulama PAS PusatMemandang kepada ketokohan dan kewibawaannya sebagai seorang ulama, beliau telah diberi kepercayaan oleh pucuk pimpinan PAS untuk mengetuai Dewan Ulama PAS Pusat mulai akhir tahun 1960an.
Selaku Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz sering mengingatkan ahli-ahli PAS dan umat Islam di negara ini agar mematuhi kesemua ajaran Rasulullah SAW। Bukannya mengambil bahagian-bahagian tertentu dan membuang bahagian-bahagian yang lain yang dirasa bercanggah dengan kepentingan peribadi.

Kerajaan कोन्तोह Selaku Menteri Besar negeri Kelantan yang ada pada suatu masa dahulu pernah digelar Serambi Mekah itu, sudah pastilah Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz akan berusaha untuk menghidupkan semula sebutan dan fungsi gelaran yang pernah diberikan kepada negeri Kelantan itu।Satu hal yang menarik ialah di samping kesibukannya menjadi ketua pentadbiran bagi sebuah kerajaan negeri yang secara kebetulan menjadi tumpuan pelbagai pihak – dalam dan luar negeri – Tuan Guru Haji Abdul Aziz masih mampu meneruskan ceramah mingguannya pada setiap pagi Jumaat bertempat di Dewan Zulkifli Muhammad Bangunan PAS yang terletak ditengah-tengah pusat bandar Kota Bharu, ibu negeri Serambi Mekah itu।

Di sinilah – di Dewan Zulkifli Muhammad inilah – ribuan umat Islam akan berkumpul beramai-ramai pada setiap pagi Jumaat untuk mengikuti ceramah mingguan YAB Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan yang mereka kasihi dan hormati itu.
Dengan kesungguhan, keberanian dan komitmen yang total, kita yakin kerajaan Angkatan di negeri Kelantan yang dipimpin oleh YAB Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat akan berjaya menegakkan sebuah kerajaan Islam di negeri Serambi Mekah ini. Dan kerajaan Islam Serambi Mekah ini, insya Allah akan menjadi sebuah kerajaan Misali yang akan menjadi panduan dan rujukan kepada kerajaan-kerajaan negeri yang lain di negara ini khasnya dan kepada kerajaan-kerajaan Islam di luar dari negara ini amnya. LOTFI ISMAIL

Wednesday, June 27, 2007

Kos pembinaan Istana Negara baru melebihi RM1.1b ?


Pertama, jangan salah faham. Kedua, usah main politik murahan. Menimbulkan isu pembinaan Istana Negara baru tidak bermaksud mempertikai hak keistimewaan Raja-Raja Melayu ataupun Yang di-Pertuan Agong.

Saya dapat jangka penyokong Barisan Nasional akan cuba mengaitkan pendedahan ini dengan sentimen anti-institusi raja atau sikap "derhaka" kepada raja!

Begitulah apa yang berlaku pada akhir November 2006 apabila Ketua Pembangkang di Parlimen, Lim Kit Siang mempertikai beberapa perkara tertentu dalam pembinaan kompleks Istana Negara, yang ketika itu dijangka menelan belanja RM400 juta yang mana Maya Maju Sdn Bhd dipilih sebagai kontraktor pembinaan.

Kit Siang semasa membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2007 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Kerja Rakyat di Dewan Rakyat pada 21 November tahun lalu mempersoalkan: "Mengapa projek pembinaan diberi secara runding terus kepada syarikat Maju Maya Sdn Bhd?"

Malang dan sedih sekali apabila soalan seumpama itu boleh ditafsirkan sebagai mempersoalkan hal istimewa Agong. Wakil DAP Ipoh Timur itu kemudiannya meminta Setiausaha Parlimen Kementerian Kerja Raya, Dato' Yong Khoo Seng menjawab mengapa tender pembinaan tidak ditawarkan secara terbuka.

Itu cerita dahulu.

Berdasarkan maklumat baru, Kabinet sudahpun meluluskan kos pembinaan Istana Negara baru di Jalan Duta, Kuala Lumpur itu bukan lagi bernilai RM400 juta tetapi melebihi RM1.1 bilion!

Lebih mengejutkan, kontraktor Maya Maju yang dipilih secara rundingan terus, apabila disemak dengan Pusat Khidmat Kontraktor (PKK), ia tidak tergolong pun sebagai kontraktor kelas A atau kelas B.

Soalnya, bagaimana kos boleh meningkat hampir tiga kali ganda dan berdasarkan proposal kontraktor banyak perinciannya yang tidak munasabah. Maksudnya, "harga diletakkan gila-gila", dan dipercayai akan berlaku "kebocoran" melampau untuk dana politik Umno-BN menjelang pilihan raya.

Hujah mudah para pelobi, kalau kos pembinaan kediaman rasmi Perdana Menteri, Seri Perdana, di Putrajaya, boleh mencapai RM800 juta dan apabila dicampur kos pengubahsuaian mencecah sehingga RM1 bilion, masakan kos pembinaan Istana Negara di bawah paras itu!

Saya terkejut dengan pendedahan kos terkumpul pembinaan Seri Perdana itu kerana umum difahamkan ia hanya sekitar RM250 juta. Bagaimanapun sumber yang layak dipercayai mempertahankan mereka mempunyai maklumat ia berharga empat kali ganda daripada andaian umum.

Monday, June 11, 2007

Kedudukan ekonomi umat Islam di Malaysia (Siri Akhir)

Kalau kita miskin di bidang ekonomi orang yang kuat dan berkuasa akan menindas kita. Pengangguran di kalangan bangsa kita agak tinggi kalau dibandingkan dengan lain-lain kaum. Mungkin juga setengah orang Islam terlalu memilih pekerjaan hingga menjadikan mereka sebagai penganggur terhormat. Pihak swasta kurang memberi peluang kepada umat Islam untuk menceburkan diri dalam kegiatan bisnes mereka. Orang Cina umumnya suka berdikari melibatkan diri di bidang bisnes walaupun kecil. Akibatnya, golongan Cina menguasai pekerjaan di bidang swasta, dan ini mempengaruhi ekonomi negara yang kini dikuasai oleh kaum Cina sejak di zaman penjajah lagi.Umat Islam harus insaf bahawa kadar kemiskinan umat Islam lebih tinggi dari kaum Cina ataupun India. Hingga kini isu kemiskinan di kalangan umat Islam masih menjadi topik panas yang dibicarakan oleh orang ramai. Sekiranya kita menyerahkan nasib kepada keadaan dan tidak cuba berusaha membaikinya maka tidak ada suatu kuasa pun, melainkan Allah, yang boleh memulihkan kehidupan kita untuk mencapai kesejahteraan hidup yang lebih selesa dan baik. Kita masih jauh ketinggalan dengan bangsa Cina dari segi penguasaan ekonomi walaupun kepimpinan negara dikuasai orang Melayu.Kaum Cina dan India terus memperolehi pendapatan bulanan yang lebih tinggi dari orang Islam dalam masa 10 tahun kebelakangan ini. Ia memperlihatkan bahawa kedua kaum ini lebih maju lagi pertumbuhan ekonomi mereka jika dibandingkan dengan umat Islam. Janganlah cepat menuding jari kepada kaum-kaum lain sebagai penyebab mengapa umat Islam lemah di bidang ekonomi. Kita tahu kelemahan umat kita sendiri tetapi kita membiarkan masaalah yang dialami umat kita tanpa memikirkan berbagai masaalah ekonomi yang dihadapi akan membawa akibat yang buruk kepada generasi akan datang.Kita mesti berani menghadapi cabaran, dan mesti berusaha untuk mengatasi segala cabaran dan masaalah yang melanda nasib umat sendiri.Seluruh umat Islam mesti digodok untuk bangun serentak dengan suatu tekad yang positif, iaitu bersatu padu, bekerjasama membangunkan ekonomi Islam. Tidak ada lagi masa untuk berseminar, bertele-tele menyalahkan orang itu dan orang ini. Semua umat Islam mesti bertanggungjawab untuk memulihkan ekonomi bagi keluarga mereka sebagai inti dari pembangunan insan, masyarakat setempat, negeri dan negara.Kalau Islam masih lagi lemah di bidang ekonomi, setelah 50 tahun negara mencapai kemerdekaan, maka kelemahan ini boleh menjejaskan pula masa depan politik orang Islam akibat dari desakan dan kekuatan ekonomi pihak lain. Hari ini negara yang kuat ekonominya boleh menguasai negara-negara miskin dunia. Walaupun Malaysia dianggap negara yang kaya kalau dibandingkan dengan setengah negara jiran namun sebilangan besar dari umat Islam masih hidup dalam kemiskinan. Hadapilah kenyataan.Kuasa politik boleh terhakis sedikit demi sedikit sekiranya kekuatan ekonomi negara di tangan orang lain yang menggunakan kedudukan ekonomi mereka yang mantap untuk mempengaruhi dasar negara yang lebih menguntungkan mereka. Hanya Islam yang boleh menyatukan ummah, dan kita mesti kembali kepada Islam untuk mengatasi kelemahan dan kebimbangan yang melanda umat sendiri. Tidak ada ideologi politik yang lebih berwibawa dari falsafah hidup ajaran Islam untuk membentuk jiwa umat manusia untuk mendapat keharmonian hidup di dunia dan keberkatan di akhirat kelak.

Kedudukan ekonomi umat Islam di Malaysia (Siri 2)

"Kalau kita membiarkan bangsa-bangsa lain menguasai berbagai bidang ekonomi negara, dan Melayu menjadi kumpulan pinggiran yang menjadi pengguna semata-mata maka alamatlah Melayu akan layu di bumi bertuah ini. Harta dunia dan akhirat sama pentingnya bagi setiap Muslim. Para mubaligh yang menyampaikan seruan Islam di kepulauan Melayu itu adalah terdiri dari para pedagang Arab dan India Muslim yang mengembara ke negara-negara asing untuk berdagang di samping itu menyebarkan agama Allah. Inilah masanya bagi umat Islam di Malaysia berusaha dan merancang berbagai strategi ekonomi untuk membina kekuatan ekonomi umat.Kita harus akui bahawa kesedaran Islam masih belum wujud. Umat Islam perlu memperkukuhkan ekonominya agar dapat bersaing dengan kaum Cina, India dan gugatan serta cabaran dari luar. Orang Islam tidak boleh berpuas hati hanya dengan membuka warung atau gerai makanan, menjadi peraih ikan ataupun sebagai usahawan kecil-kecilan sahaja. Apa saja bukan Islam boleh buat, orang Islam juga mesti boleh melakukannya, dan berusaha sedaya upaya untuk mencapai kejayaan.Bukan Islam mempunyai syarikat gergasi 28.9 kali ganda dari milikan orang Islam. Oleh itu orang kita janganlah terlalu khayal dengan kekayaan yang sedikit itu atau mengagumi beberapa kerat pemimpin korporat Melayu yang berlagak dengan kapalterbang peribadi (ada yang terpaksa menjualnya sekarang) seolah-olah ekonomi orang Melayu sudah kukuh dan hebat.Kekuatan ekonomi bukan Islam boleh mempengaruhi dasar politik dan ekonomi negara memandangkan mereka mempunyai jaringan bisnes yang mantap, berpengalaman bukan saja dalam negara tetapi juga di seluruh pelosok dunia. Malah pada hari ini pun bukan Islam boleh menjejaskan kehidupan rakyat sekiranya mereka menutup perniagaan mereka beberapa hari dan minggu untuk merayakan hari kebesaran mereka.Kita tidak boleh menyekat bukan Islam dari membuat bisnes dan membesarkan perniagaan mereka. Itu hak mereka kerana mereka kuat bekerja, dan sanggup mengambil risiko besar berjuang di tengah-tengah belantara bisnes. Mereka tidak gentar. Jatuh bangun dalam bisnes bukan sesuatu yang harus ditangisi. Itu adalah cabaran, dan kita perlu belajar dari pengalaman hidup yang manis dan pahit demi mengejar kemajuan dan menjamin kejayaan kelak. Mereka terus berusaha dan dengan segala kegigihan, pengorbanan dan keyakinan diri yang menjadi sebahagian dari kehidupan mereka, akhirnya mereka menjadi jutawan tulen dan bukan jutawan ala mi segera. Para usahawan Melayu perlu belajar dari pengalaman dan kegigihan orang Cina untuk masuk ke gelanggang bisnes.Menunglah sejenak dan tanyalah pada diri sendiri dengan penuh kejujuran apakah orang Islam hanya layak menjadi orang gaji atau orang suruhan yang menguasai ekonomi negara? Atau orang kita berpuas hati menjadi buruh atau bergaji kecil asalkan mereka tidak perlu berfikir dengan serius sebagai usahawan ataupun majikan yang menghadapi risiko dalam pengurusan mereka. Orang Melayu tidak boleh kembali ke zaman romantik sebagai petani miskin dan nelayan yang berjuang dengan ombak laut. Memang ada usaha ke arah menjadikan pertanian sebagai industri moden tetapi perlaksanaannya masih belum memuaskan.Cabaran nasional dan global semakin berat. Untuk menghadapi cabaran yang semakin sengit maka umat kita mesti bersikap terbuka, lebih liberal untuk menerima nilai-nilai yang baik dan positif dari mana-mana pihak sekali pun bagi memperkayakan budaya kerja dan keilmuan umat kita. Kita perlu mengejar masa untuk memburu dan menguasai ilmu supaya kita tidak ketinggalan zaman. Ingatlah Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu sehingga kaum itu tidak berusaha mengubahnya. Kita mohon kepada Allah tetapi usaha yang gigih mesti wujud dan tumbuh segar dalam diri kita sendiri.Inilah masa yang paling baik bagi umat Islam di Malaysia melipatgandakan usaha untuk membangunkan ekonomi kita. Ingatlah sekiranya umat Melayu yang beragama Islam tidak memanfaatkan apa yang ada di tangan kita maka janganlah merintih dan menangis sedu sedan mengenangkan nasib diri sendiri yang melarat di bumi bertuah yang bernama Malaysia ini. Peluang keemasan yang tidak diambil akan menjadi debu sejarah. Kalau kita tidak mahu menjadi seperti umat Islam di Singapura kita perlu mempersiapkan diri, jiwa dan tenaga untuk membaiki kehidupan kita.Hanya manusia yang mati cita-cita, yang berjiwa hamba, yang tidak punya keyakinan diri, yang mudah menyerah kalah pada keadaan dan takdir. Kita harus berani menghadapi cabaran dengan kekuatan ilmu, semangat dan ketaqwaan terhadap Allah. Sebenarnya umat Islam menghadapi berbagai cabaran untuk menguasai sebahagian besar dari kemajuan ekonomi negara. Umat Islam tidak boleh menjadi penonton yang pasif dan mengharapkan ihsan orang lain untuk membantu kita berdiri di atas kaki kita sendiri. Perlulah disedari dan diinsafi ada orang lain yang suka melihat umat Islam di Malaysia berpecah-belah, menjadi lemah dan gagal membaiki ekonomi umat."

Kedudukan ekonomi umat Islam di Malaysia (Siri 1)

"Kekuatan politik sahaja tidak mencukupi kalau kekuasaan ekonomi tidak punya. Jaringan bisnes kaum Cina di seluruh dunia menjadikan bangsa Cina, seperti Yahudi, yang paling kuat dan berpengaruh di samping bangsa Jepun, Eropah dan Amerika. Walaupun umat Islam pernah menjadi pedagang di abad keenam belas dan ketujuh belas dan mengadakan hubungan perdagangan dengan berbagai pelabuhan di Gugusan Pulau-pulau Melayu dan lain-lain, namun kegiatan perdagangan Islam hancur apabila kuasa penjajah Barat datang ke wilayah kepulauan Melayu untuk menjajah, berdagang dan mengembangkan agama Kristian. Perlulah diingat kuasa politik akan menjadi lemah sekiranya bangsa yang menguasai ekonomi negara menggugat dan mendesak berbagai perkara untuk memenangkan kepentingan mereka. Selepas 50 tahun merdeka, ekonomi umat Islam tidak sehebat mana kalau dibandingkan dengan kuasa ekonomi kaum Cina. Malah pada hari ini peruntukan 30% dari khazanah ekonomi negara untuk Melayu masih belum tercapai. Kita harus akui kelemahan umat kita dan diri kita sendiri. Rata-rata orang Islam hanya sebagai pembeli atau pengguna.Kebanyakan jutawan segera yang dilahirkan oleh DEB yang berkokok sebagai tokoh-tokoh korporat yang berjaya tetapi menyerahkan projek-projek mereka kepada pihak lain yang berpengalaman di bidang yang mereka ceburi. Dalam menghadapi cabaran sekarang umat Islam tidak boleh hanya menjadi penjual goreng pisang yang berjaya atau keropok lekor sahaja.Sekiranya kita menyerahkan nasib kepada kerajaan dan membiarkan sejarah membentuk kita tetapi daya usaha dan jiwa bersaing dan keyakinan diri tidak punya maka hilanglah harapan agama, bangsa dan tanahair untuk melihat suatu kelompok masyarakat usahawan dan profesional Islam yang gigih, hebat bersaing dengan bangsa-bangsa lain di dalam mahu pun di luar negara. Apa yang dianggap sebagai hak keistimewaan Melayu tidak akan kekal selama-lamanya. Kita tidak mahu manusia Melayu-Islam menjadi seperti Lebai Malang menang sorak, tapi kampung halaman dan masa depan anak cucu tergadai.Kita harus mempelajari bagaimana kaum Cina yang gigih dalam bidang perniagaan di zaman penjajahan tetapi tidak mempunyai kuasa politik akhirnya masih kekal dominasi bisnes, kini menjadi suatu 'force' yang penting dalam perkongsian politik di negara kita. Hari ini kaum Cina dan India menjadi semakin berpengaruh dan kuat di bidang politik, dan di samping itu Cina tetap menguasai bidang ekonomi negara. Lihat pula sikap dan perjuangan Zionis Yahudi. Yahudi menguasai bidang ekonomi di Amerika, Eropah dan lain-lain negara di dunia telah berjaya menjadi syarikat.kuasa politik terpenting terutama sekali di Timur Tengah dan juga di Amerika Syarikat. "

Saturday, June 9, 2007

Pak Lah, Jeanne diijab kabul

PUTRAJAYA: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Datin Seri Jeanne Abdullah selamat diijabkabulkan selepas solat Zuhur, di surau kediaman rasmi Perdana Menteri, Kompleks Seri Perdana, di sini, semalam.

Akad nikah itu disempurnakan Pemangku Imam Masjid Putrajaya, Abd Manaf Mat pada jam 2.50 petang dengan anak Perdana Menteri, Datuk Kamaluddin dan menantu, Khairy Jamaluddin, menjadi saksi.

Selepas disahkan sebagai suami dan isteri, Abdullah yang berpakaian baju Melayu krim dan bersamping warna sama, menyarungkan cincin berlian pada jari Jeanne yang berpakaian baju kurung dan selendang sedondon.

Majlis akad nikah tertutup untuk media itu dihadiri anggota keluarga terdekat termasuk anak perempuan Perdana Menteri, Nori Abdullah, dua anak perempuan Jeanne, Nadiah Kimie dan Nadene Kimie Othman, serta bapa pengantin

perempuan, Matthew Danker.

Hadir sama, adik Allahyarham Datin Seri Endon Mahmud, Datuk Rahmah, Othman, Nonni dan Puan Sri Aizah, serta suaminya, Tan Sri Mohd Radzi Mansor.

Keluarga Perdana Menteri dalam kenyataan kepada Bernama petang semalam berkata, Abdullah dan Jeanne mengucapkan terima kasih kepada rakyat yang mendoakan kebahagiaan mereka.

Selepas waktu Asar, Abdullah dan isteri serta keluarga meninggalkan Kompleks Seri Perdana untuk menziarahi pusara Endon di Taman Selatan di sini.

Sejurus tiba jam 4.55 petang, Perdana Menteri mengetuai majlis tahlil ringkas dan doa sebelum menyiram air mawar dan menabur bunga melur di pusara Endon, diikuti Jeanne, Kamal dan isteri, Datin Azrene Abdullah, Nori dan Khairy serta ahli keluarga lain.

Abdullah yang pertama kali bertemu media selepas majlis akad nikah itu, berkata majlis berkenaan berjalan dengan baik dan sempurna dan dihadiri keluarga terdekat daripada anak dan adik-beradiknya serta keluarga di sebelah arwah isterinya dan keluarga Jeanne.

“Alhamdulillah semua berjalan dengan baik. Saya bersyukur kepada Allah SWT kerana akad nikah itu sudah pun berjalan dengan sempurna. Terima kasih, terima kasih,” katanya.

Ditanya berapa kali beliau melafazkan akad nikah, Abdullah yang kelihatan ceria berkata: “Sekali lafaz...sekali.”

Perdana Menteri juga memenuhi permintaan media dengan mengangkat tangan kiri isterinya bagi menunjukkan cincin perkahwinan berlian yang tersarung di jari manis Jeanne, dan isterinya turut tersenyum.

Abdullah, Jeanne dan ahli keluarga kemudian pulang ke Kompleks Seri Perdana kira-kira jam 5.30 petang.