Saturday, June 9, 2007

Pak Lah, Jeanne diijab kabul

PUTRAJAYA: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Datin Seri Jeanne Abdullah selamat diijabkabulkan selepas solat Zuhur, di surau kediaman rasmi Perdana Menteri, Kompleks Seri Perdana, di sini, semalam.

Akad nikah itu disempurnakan Pemangku Imam Masjid Putrajaya, Abd Manaf Mat pada jam 2.50 petang dengan anak Perdana Menteri, Datuk Kamaluddin dan menantu, Khairy Jamaluddin, menjadi saksi.

Selepas disahkan sebagai suami dan isteri, Abdullah yang berpakaian baju Melayu krim dan bersamping warna sama, menyarungkan cincin berlian pada jari Jeanne yang berpakaian baju kurung dan selendang sedondon.

Majlis akad nikah tertutup untuk media itu dihadiri anggota keluarga terdekat termasuk anak perempuan Perdana Menteri, Nori Abdullah, dua anak perempuan Jeanne, Nadiah Kimie dan Nadene Kimie Othman, serta bapa pengantin

perempuan, Matthew Danker.

Hadir sama, adik Allahyarham Datin Seri Endon Mahmud, Datuk Rahmah, Othman, Nonni dan Puan Sri Aizah, serta suaminya, Tan Sri Mohd Radzi Mansor.

Keluarga Perdana Menteri dalam kenyataan kepada Bernama petang semalam berkata, Abdullah dan Jeanne mengucapkan terima kasih kepada rakyat yang mendoakan kebahagiaan mereka.

Selepas waktu Asar, Abdullah dan isteri serta keluarga meninggalkan Kompleks Seri Perdana untuk menziarahi pusara Endon di Taman Selatan di sini.

Sejurus tiba jam 4.55 petang, Perdana Menteri mengetuai majlis tahlil ringkas dan doa sebelum menyiram air mawar dan menabur bunga melur di pusara Endon, diikuti Jeanne, Kamal dan isteri, Datin Azrene Abdullah, Nori dan Khairy serta ahli keluarga lain.

Abdullah yang pertama kali bertemu media selepas majlis akad nikah itu, berkata majlis berkenaan berjalan dengan baik dan sempurna dan dihadiri keluarga terdekat daripada anak dan adik-beradiknya serta keluarga di sebelah arwah isterinya dan keluarga Jeanne.

“Alhamdulillah semua berjalan dengan baik. Saya bersyukur kepada Allah SWT kerana akad nikah itu sudah pun berjalan dengan sempurna. Terima kasih, terima kasih,” katanya.

Ditanya berapa kali beliau melafazkan akad nikah, Abdullah yang kelihatan ceria berkata: “Sekali lafaz...sekali.”

Perdana Menteri juga memenuhi permintaan media dengan mengangkat tangan kiri isterinya bagi menunjukkan cincin perkahwinan berlian yang tersarung di jari manis Jeanne, dan isterinya turut tersenyum.

Abdullah, Jeanne dan ahli keluarga kemudian pulang ke Kompleks Seri Perdana kira-kira jam 5.30 petang.