Sunday, April 22, 2007

Lautan Biru’ beri nafas baru BN Terengganu – Najib

Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melancarkan slogan baru UMNO Terengganu ‘Lautan Biru’ dan mahu badan itu berusaha melakukan pembaharuan bagi memastikan kehidupan rakyat di negeri itu lebih baik.Timbalan Perdana Menteri juga yakin perubahan slogan daripada ‘Gelombang Biru’ kepada ‘Lautan Biru’ akan memberi nafas baru kepada Barisan Nasional (BN) Terengganu untuk menghadapi cabaran politik di negeri ini.

“Lautan Biru ada strateginya, bukan sekadar slogan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan slogan ‘Lautan Biru’ peringkat Parlimen Marang di padang bola Kampung Kelulut dekat sini hari ini. Turut hadir ialah Menteri Besar Datuk Seri Idris Jusoh dan Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Abdul Rahman Bakar yang juga Anggota Parlimen Marang.Najib berkata, setakat ini, kerajaan Terengganu telah berjaya membawa perubahan bukan sahaja daripada segi slogan tetapi juga pemikiran rakyat, strategi dan juga pembaharun imej kerajaan.Dalam ucapannya pada majlis itu, Najib yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, langkah UMNO Terengganu menukar slogan tersebut amat bertepatan dengan usaha kerajaan membuka minda rakyat sekaligus melakukan perubahan dalam soal pembangunan di negeri itu dari masa ke semasa.

Beliau berkata, dengan pelancaran slogan ‘Lautan Biru’, UMNO Terengganu perlu melakukan pelbagai pembaharuan yang mungkin tidak terfikir oleh rakyat.“Fikirkan sesuatu yang orang lain tidak terfikir. Misalnya (idea) Perdana Menteri (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) untuk mengadakan Monsoon Cup (di Pulau Duyong)...idea yang dapat kita cetuskan untuk beri pembaharuan,” katanya.Sementara itu, kira-kira 50 penyokong Pas berhimpun di Jambatan Marang selepas solat Jumaat hari ini bagi membantah kehadiran Najib untuk merasmikan majlis tersebut.Sekitar bandar Marang juga ‘dihiasi’ bendera BN dan Pas seolah-olah pilihan raya kecil sedang diadakan di situ.Jurucakap Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Marang ketika dihubungi bagaimanapun berkata, tiada sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku dan perhimpunan tersebut dapat disuraikan secara aman. – Bernama