Monday, June 11, 2007

Kedudukan ekonomi umat Islam di Malaysia (Siri Akhir)

Kalau kita miskin di bidang ekonomi orang yang kuat dan berkuasa akan menindas kita. Pengangguran di kalangan bangsa kita agak tinggi kalau dibandingkan dengan lain-lain kaum. Mungkin juga setengah orang Islam terlalu memilih pekerjaan hingga menjadikan mereka sebagai penganggur terhormat. Pihak swasta kurang memberi peluang kepada umat Islam untuk menceburkan diri dalam kegiatan bisnes mereka. Orang Cina umumnya suka berdikari melibatkan diri di bidang bisnes walaupun kecil. Akibatnya, golongan Cina menguasai pekerjaan di bidang swasta, dan ini mempengaruhi ekonomi negara yang kini dikuasai oleh kaum Cina sejak di zaman penjajah lagi.Umat Islam harus insaf bahawa kadar kemiskinan umat Islam lebih tinggi dari kaum Cina ataupun India. Hingga kini isu kemiskinan di kalangan umat Islam masih menjadi topik panas yang dibicarakan oleh orang ramai. Sekiranya kita menyerahkan nasib kepada keadaan dan tidak cuba berusaha membaikinya maka tidak ada suatu kuasa pun, melainkan Allah, yang boleh memulihkan kehidupan kita untuk mencapai kesejahteraan hidup yang lebih selesa dan baik. Kita masih jauh ketinggalan dengan bangsa Cina dari segi penguasaan ekonomi walaupun kepimpinan negara dikuasai orang Melayu.Kaum Cina dan India terus memperolehi pendapatan bulanan yang lebih tinggi dari orang Islam dalam masa 10 tahun kebelakangan ini. Ia memperlihatkan bahawa kedua kaum ini lebih maju lagi pertumbuhan ekonomi mereka jika dibandingkan dengan umat Islam. Janganlah cepat menuding jari kepada kaum-kaum lain sebagai penyebab mengapa umat Islam lemah di bidang ekonomi. Kita tahu kelemahan umat kita sendiri tetapi kita membiarkan masaalah yang dialami umat kita tanpa memikirkan berbagai masaalah ekonomi yang dihadapi akan membawa akibat yang buruk kepada generasi akan datang.Kita mesti berani menghadapi cabaran, dan mesti berusaha untuk mengatasi segala cabaran dan masaalah yang melanda nasib umat sendiri.Seluruh umat Islam mesti digodok untuk bangun serentak dengan suatu tekad yang positif, iaitu bersatu padu, bekerjasama membangunkan ekonomi Islam. Tidak ada lagi masa untuk berseminar, bertele-tele menyalahkan orang itu dan orang ini. Semua umat Islam mesti bertanggungjawab untuk memulihkan ekonomi bagi keluarga mereka sebagai inti dari pembangunan insan, masyarakat setempat, negeri dan negara.Kalau Islam masih lagi lemah di bidang ekonomi, setelah 50 tahun negara mencapai kemerdekaan, maka kelemahan ini boleh menjejaskan pula masa depan politik orang Islam akibat dari desakan dan kekuatan ekonomi pihak lain. Hari ini negara yang kuat ekonominya boleh menguasai negara-negara miskin dunia. Walaupun Malaysia dianggap negara yang kaya kalau dibandingkan dengan setengah negara jiran namun sebilangan besar dari umat Islam masih hidup dalam kemiskinan. Hadapilah kenyataan.Kuasa politik boleh terhakis sedikit demi sedikit sekiranya kekuatan ekonomi negara di tangan orang lain yang menggunakan kedudukan ekonomi mereka yang mantap untuk mempengaruhi dasar negara yang lebih menguntungkan mereka. Hanya Islam yang boleh menyatukan ummah, dan kita mesti kembali kepada Islam untuk mengatasi kelemahan dan kebimbangan yang melanda umat sendiri. Tidak ada ideologi politik yang lebih berwibawa dari falsafah hidup ajaran Islam untuk membentuk jiwa umat manusia untuk mendapat keharmonian hidup di dunia dan keberkatan di akhirat kelak.

No comments: