Monday, June 11, 2007

Kedudukan ekonomi umat Islam di Malaysia (Siri 2)

"Kalau kita membiarkan bangsa-bangsa lain menguasai berbagai bidang ekonomi negara, dan Melayu menjadi kumpulan pinggiran yang menjadi pengguna semata-mata maka alamatlah Melayu akan layu di bumi bertuah ini. Harta dunia dan akhirat sama pentingnya bagi setiap Muslim. Para mubaligh yang menyampaikan seruan Islam di kepulauan Melayu itu adalah terdiri dari para pedagang Arab dan India Muslim yang mengembara ke negara-negara asing untuk berdagang di samping itu menyebarkan agama Allah. Inilah masanya bagi umat Islam di Malaysia berusaha dan merancang berbagai strategi ekonomi untuk membina kekuatan ekonomi umat.Kita harus akui bahawa kesedaran Islam masih belum wujud. Umat Islam perlu memperkukuhkan ekonominya agar dapat bersaing dengan kaum Cina, India dan gugatan serta cabaran dari luar. Orang Islam tidak boleh berpuas hati hanya dengan membuka warung atau gerai makanan, menjadi peraih ikan ataupun sebagai usahawan kecil-kecilan sahaja. Apa saja bukan Islam boleh buat, orang Islam juga mesti boleh melakukannya, dan berusaha sedaya upaya untuk mencapai kejayaan.Bukan Islam mempunyai syarikat gergasi 28.9 kali ganda dari milikan orang Islam. Oleh itu orang kita janganlah terlalu khayal dengan kekayaan yang sedikit itu atau mengagumi beberapa kerat pemimpin korporat Melayu yang berlagak dengan kapalterbang peribadi (ada yang terpaksa menjualnya sekarang) seolah-olah ekonomi orang Melayu sudah kukuh dan hebat.Kekuatan ekonomi bukan Islam boleh mempengaruhi dasar politik dan ekonomi negara memandangkan mereka mempunyai jaringan bisnes yang mantap, berpengalaman bukan saja dalam negara tetapi juga di seluruh pelosok dunia. Malah pada hari ini pun bukan Islam boleh menjejaskan kehidupan rakyat sekiranya mereka menutup perniagaan mereka beberapa hari dan minggu untuk merayakan hari kebesaran mereka.Kita tidak boleh menyekat bukan Islam dari membuat bisnes dan membesarkan perniagaan mereka. Itu hak mereka kerana mereka kuat bekerja, dan sanggup mengambil risiko besar berjuang di tengah-tengah belantara bisnes. Mereka tidak gentar. Jatuh bangun dalam bisnes bukan sesuatu yang harus ditangisi. Itu adalah cabaran, dan kita perlu belajar dari pengalaman hidup yang manis dan pahit demi mengejar kemajuan dan menjamin kejayaan kelak. Mereka terus berusaha dan dengan segala kegigihan, pengorbanan dan keyakinan diri yang menjadi sebahagian dari kehidupan mereka, akhirnya mereka menjadi jutawan tulen dan bukan jutawan ala mi segera. Para usahawan Melayu perlu belajar dari pengalaman dan kegigihan orang Cina untuk masuk ke gelanggang bisnes.Menunglah sejenak dan tanyalah pada diri sendiri dengan penuh kejujuran apakah orang Islam hanya layak menjadi orang gaji atau orang suruhan yang menguasai ekonomi negara? Atau orang kita berpuas hati menjadi buruh atau bergaji kecil asalkan mereka tidak perlu berfikir dengan serius sebagai usahawan ataupun majikan yang menghadapi risiko dalam pengurusan mereka. Orang Melayu tidak boleh kembali ke zaman romantik sebagai petani miskin dan nelayan yang berjuang dengan ombak laut. Memang ada usaha ke arah menjadikan pertanian sebagai industri moden tetapi perlaksanaannya masih belum memuaskan.Cabaran nasional dan global semakin berat. Untuk menghadapi cabaran yang semakin sengit maka umat kita mesti bersikap terbuka, lebih liberal untuk menerima nilai-nilai yang baik dan positif dari mana-mana pihak sekali pun bagi memperkayakan budaya kerja dan keilmuan umat kita. Kita perlu mengejar masa untuk memburu dan menguasai ilmu supaya kita tidak ketinggalan zaman. Ingatlah Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu sehingga kaum itu tidak berusaha mengubahnya. Kita mohon kepada Allah tetapi usaha yang gigih mesti wujud dan tumbuh segar dalam diri kita sendiri.Inilah masa yang paling baik bagi umat Islam di Malaysia melipatgandakan usaha untuk membangunkan ekonomi kita. Ingatlah sekiranya umat Melayu yang beragama Islam tidak memanfaatkan apa yang ada di tangan kita maka janganlah merintih dan menangis sedu sedan mengenangkan nasib diri sendiri yang melarat di bumi bertuah yang bernama Malaysia ini. Peluang keemasan yang tidak diambil akan menjadi debu sejarah. Kalau kita tidak mahu menjadi seperti umat Islam di Singapura kita perlu mempersiapkan diri, jiwa dan tenaga untuk membaiki kehidupan kita.Hanya manusia yang mati cita-cita, yang berjiwa hamba, yang tidak punya keyakinan diri, yang mudah menyerah kalah pada keadaan dan takdir. Kita harus berani menghadapi cabaran dengan kekuatan ilmu, semangat dan ketaqwaan terhadap Allah. Sebenarnya umat Islam menghadapi berbagai cabaran untuk menguasai sebahagian besar dari kemajuan ekonomi negara. Umat Islam tidak boleh menjadi penonton yang pasif dan mengharapkan ihsan orang lain untuk membantu kita berdiri di atas kaki kita sendiri. Perlulah disedari dan diinsafi ada orang lain yang suka melihat umat Islam di Malaysia berpecah-belah, menjadi lemah dan gagal membaiki ekonomi umat."

No comments: