Monday, July 2, 2007

Lee Kuan Yew Tuduh UMNOCuba Gulingkan PM Malaysia

SINGAPURA, 30 Jun (Bernama) -- Menteri Mentor Lee Kuan Yew berkata syarikat-syarikat dari Singapura yang berminat menyertai projek di Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) tidak boleh menjangkakan layanan istimewa daripada Malaysia sebagaimana layanan murah hati China kepada Hong Kong di wilayah Shenzhen.
"Singapura tidak boleh menjangkakan layanan serupa dari Malaysia," kata Lee dalam wawancara khas dengan akhbar Berita Harian sempena ulang tahun ke-50 akhbar itu esok.
Lee, tokoh yang masih berpengaruh dalam kabinet Singapura, berkata syarikat-syarikat dari Singapura juga perlu menilai sama ada kehadiran mereka dialu-alukan di WPI memandangkan adanya suara bantahan di kalangan pemimpin Umno, terutamanya dari Johor.
"Adalah satu perkara bagi parti Pas cuba menjatuhkan Perdana Menteri, tetapi apabila pemimpin Umno, terutama dari Johor, turut bertindak serupa, pelabur dari Singapura mesti bertanya secara serius bila sikap itu akan berubah, dan sama ada mereka mengalu-alukan kita di IDR," kata beliau kepada akhbar itu।



WPI, seluas 2,217 km persegi di Johor selatan, merupakan projek utama kerajaan Malaysia yang disifatkan banyak pemerhati sebagai pelengkap kepada jiran serba modennya Singapura, sebagaimana Shenzhen melengkapi Hong Kong.


Lee juga berkata WPI boleh memberi tekanan kepada Singapura seperti juga Shenzhen yang memberi tekanan kepada kepada Hong Kong।
Menurut beliau, Shenzhen menarik industri-industri dari Hong Kong ke wilayahnya serta ke bandar-bandar berdekatan.
"Ini menyebabkan Hong Kong mempunyai hanya sedikit pusat pengilangan dan kadar pengangguran yang tinggi. Ekonomi Hong Kong kini bergantung kepada sektor perkhidmatan," kata beliau kepada Berita Harian, satu-satunya akhbar berbahasa Melayu di republik ini.
"Jika Singapura hilang banyak industri kepada IDR, kita akan menghadapi masalah pengangguran yang teruk kerana tidak semua pekerja kilang boleh mencari pekerjaan dalam sektor perkhidmatan."
Beliau bagaimanapun berkata Singapura tetap memberi sokongan kepada WPI kerana ia akan saling menguntungkan kedua-dua negara.
"Kita percaya dari perspektif lebih luas, adalah lebih baik bagi kedua-dua negara, dengan Malaysia menerima manfaat daripada pertumbuhan ekonomi Singapura, dan begitu juga Singapura," kata beliau.
Menurut beliau, politik dalaman dan bantahan terhadap penyertaan Singapura di WPI bertujuan mengeksploitasi isu-isu itu dan menjejas sokongan terhadap kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan terhadap kerjasama di wilayah pembangunan itu.

No comments: